Beza Darah Haid Dengan Keguguran | Mengetahui jenis darah yang keluar dari kemaluan sangat penting sebagai seorang wanita dalam Islam.
Ini kerana ia membabitkan isu kesucian, pelaksanaan ibadah solat, puasa dan sebagainya.
Begitu juga pengiraan tempoh suci bagi tempoh idah kepada seseorang wanita.
Ada beberapa larangan bagi wanita yang haid dan nifas termasuk semua larangan ketika berjunub, berpuasa, berada dalam masjid dan bersetubuh.
Terdapat tiga jenis pendarahan berlaku kepada wanita, iaitu darah haid, darah istihadhah dan darah nifas.
Keluarnya darah haid melambangkan kesempurnaan anggota dalaman bagi seseorang wanita.
Darah haid berlaku pada setiap bulan dan tempohnya antara satu hari satu malam sehingga 15 hari 15 malam.
Tempohnya mungkin berlainan antara seorang wanita dengan wanita lain. Biasanya tempoh haid adalah dari enam hari enam malam sehingga tujuh hari tujuh malam.
Apabila darah masih keluar melebihi tempoh haid itu, wanita dikira mengalami darah istihadhah (penyakit).
Darah nifas berlaku selepas melahirkan anak, tempohnya sehingga 60 hari. Apabila darah masih keluar selepas itu dikira sebagai darah istihadhah.
Semasa tempoh darah istihadhah wanita tidak dikenakan larangan seperti wanita dalam haid atau nifas.
Dengan itu seseorang wanita hendaklah menunaikan segala perintah Allah seperti biasa termasuk solat dan sebagainya.
Sekiranya ia berlaku disebabkan keguguran kerana hamil, ia hanya dikira darah nifas apabila kehamilan melebihi 10 minggu, iaitu tempoh yang dikira pembentukan janin yang sempurna.
Sekiranya belum mencapai tempoh itu, pendarahan yang berlaku dikira darah istihadhah.
Tempohnya juga dari satu hari satu malam sehingga 60 hari 60 malam.