Di Hotel Bajet Inilah Jadi Saksi Kesuciannya Diragut
Perkenalan seorang gadis yang bekerja sebagai pembantu restoran makanan segera di daerah ini dengan seorang jejaka, membawa detik hitam apabila kesucian dirinya dinodai kekasih.
Detik mendukacitakan itu berlaku di sebuah hotel bajet, dekat sini, apabila gadis berusia 19 terbabit menjadi mangsa kerakusan hubungan luar nikah dilakukan kekasihnya sendiri.
Rahsia gadis terbabit terbongkar dalam serbuan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Agama Syariah Dungun, kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin selepas menerima maklumat mengatakan pasangan menyewa bilik hotel itu berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketika serbuan, pasangan lelaki itu dikatakan membuka pintu, manakala kekasihnya pula difahamkan sempat masuk ke bilik air untuk mandi.
Hasil soal siasat mendapati, mereka tidak mempunyai hubungan muhrim, sebaliknya lelaki itu datang dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk bertemu kekasihnya yang dikenali setahun lalu sebelum menginap di hotel tersebut.
Lelaki berasal dari Tanah Merah, Kelantan yang bekerja sebagai pekerja swasta di Rawang, Selangor itu sanggup datang ke Dungun untuk melampiaskan nafsu bersama kekasihnya yang juga dari Kelantan, malah mereka dikatakan baru pertama kali memadu asmara dan tidur bersama.
Akibat perbuatan terkutuk itu, pasangan terbabit akhirnya ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 29 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau tidak lebih dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Turut dirampas, coli dan seluar dalam wanita itu untuk dijadikan bahan kes dalam prosiding pendakwaan pada awal Disember nanti.-sinar harian