Tidak dapat dinafikan, harga rumah di Malaysia semakin hari semakin mahal. Hal ini menyebabkan mereka yang ingin membeli rumah, lebih-lebih lagi golongan belia yang mahu membeli rumah pertama mereka, buntu untuk memiliki keperluan asas ini...
Memahami masalah ini tidak dapat dielakkan, seorang anak muda tempatan yang juga seorang web designer, Mohd Azree mengambil langkah alternatif iaitu dengan membina sebuah rumah kontena, trend rumah yang semakin popular di barat. ..
Rumah kontena, atau dalam bahasa inggerisnya, container house merupakan rumah yang terbina dari beberapa blok kontena, yang biasanya boleh dijumpai di atas kapal pengangkut barang. Kemudian blok-blok kontena ini disambungkan menjadi sebuah rumah yang selesa mengikut citarasa pemilik sendiri...
Menurut Mohd Azree, kos keseluruhan yang diperlukan untuk membina rumah kontena ini adalah RM 50,000 termasuklah sebidang tanah seluas 2400 kaki persegi. Lebih menarik, rumah tersebut hanya mengambil masa selama seminggu untuk siap...
Apa yang paling menarik tentang rumah kontena adalah harganya yang murah dan juga ketahanannya. Sebab itu anda boleh melihat kontena ini digunakan oleh syarikat-syarikat pembinaan untuk dijadikan sebagai 'pejabat' di tapak pembinaan. Malah ada juga syarikat perhotelan yang menjadikan kontena sebagai bilik hotel mampu bilik...
Mungkin rumah kontena boleh dikomersialkan dan menjadi alternatif yang serius kepada rumah-rumah di Malaysia yang semakin mahal. Di beberapa buah negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, rumah kontena sudah pun digunakan secara meluas malah ada yang membina rumah mewah dengan menggunakan kontena sahaja...