Fouziah Gous Teruja Mengacarakan Nona Secara Solo

Fouziah Gous Teruja Mengacarakan Nona Secara Solo | Selepas tamatnya episod akhir Nona TV3 untuk tahun 2014, ramai yang sudah mengetahui bahawa Fara Fauzana dan Neelofa tidak akan lagi mengacarakan rancangan popular wanita tersebut bagi tahun 2015.

Antara nama-nama yang disebut bakal menjadi pengacara baru Nona adalah Fazura serta Fouziah Gous. Kedua-dua mereka mempunyai tarikan tersendiri  yang membuatkan ramai tertanya siapakah yang bakal dipilih?

Terbaru, pihak TV3 telah mengesahkan bahawa Fouziah Gous telah dipilih sebagai pengacara Nona yang baru bagi tahun 2015.

Lebih mencabar lagi Fouziah Gous tidak berteman dan mengendalikan rancangan tersebut secara solo. Walaubagaimanapun, itu bukanlah satu masalah yang besar dan beliau merasa teruja dengan peluang yang diberi.

Malah, Fouziah Gous sendiri mengakui sejak berusia kecil beliau sudah terbiasa dengan kewujudan rancangan Nona yang meraih populariti dalam kalangan rakyat negara ini.

“Saya pernah diundang sebagai pengacara jemputan Nona sebelum ini. Cuma sejujurnya saya tak sangka dan terkejut bila tawaran mengemudi program ini datang. Setakat ini sudah dua episod dirakamkan dan kontrak saya bersama Nona untuk setahun.”

Untuk pengetahuan anda, Fouziah Gous bukan sahaja akan bertindak sebagai pengacara tetapi akan turun ke lokasi untuk membuat liputan.

Fouziah Gous bakal ke Kelantan tidak lama lagi untuk membuat liputan pertama beliau tentang mangsa banjir di sana.