Salahkah melakukan perkhawinan di bulan safar ?

Saya akan berkahwin dengan pasangan saya tidak lama lagi. Masalah di sini ialah saya akan melangsungkan pernikahan pada bulan Disember dan ianya jatuh pada bulan Safar jika ikut kalendar Islam. Terdapat sesetengah pendapat menyatakan bulan Safar tidak elok  dibuat majlis pernikahan. Disini, saya ingin bertanya adakah benar pendapat yang menyatakan bahawa bulan Safar tidak sesuai di buat majlis pernikahan dan perkahwinan?

Jawapan  :-

Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyatakan secara khusus hari-hari yang tidak harus seseorang itu melakukan sebarang perbuatan seperti nikah kawin. Malahan Rasulullah telah bersabda yang maksudnya :

“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk), tidak ada kesialan (malang) kerana burung hantu, dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan Safar.” (Hadis Riwayat Bukhari , Muslim, Abu Daud, dan Ahmad )





Rasulullah SAW bersabda ;-

“Beranggapan sial termasuk kesyirikan (baginda menyebutnya tiga kali).” Lalu baginda bersabda, “Tidak ada di antara kita yang selamat dari beranggapan sial. Menghilangkan anggapan sial tersebut adalah dengan bertawakal.” (HR. Abu Dawud)

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap sesuatu perkara seperti kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu, gerakan binatang dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah SWT tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya :-

“Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”  (Surah al-A’raaf (7) ayat 131)

Oleh itu bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur (ramalan buruk kerana sesuatu),  maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikkan.