Sikap Wanita Yang Membuatkan Lelaki Benci Pada Wanita

Perkara apa yang membuatkan lelaki bencikan wanita?



Kuat berleter dikatakan menjadi punca lelaki kurang selesa dan mengelak untuk ada teman wanita. Tetapi masih ada alasan lain yang turut membuatkan lelaki `takut' untuk bercinta.

Perkara apa yang membuatkan lelaki bencikan wanita? Bukankah wanita adalah pelengkap bagi kehidupan seorang lelaki?

Bahkan lelaki memerlukan wanita sebagai pendamping diri dan menjadi sumber kekuatan ketika dalam kekusutan. Sedangkan, lelaki dilahirkan daripada `rahim' seorang wanita yang bergelar ibu. Jadi tidak ada alasan untuk lelaki mengelak daripada tidak mempunyai sebarang hubungan dengan wanita.

Akan tetapi, disebabkan sikap atau perilaku wanita yang sedemikian membuatkan lelaki menolak cinta mereka terutama apabila berperangai seperti yang penulis senaraikan di bawah ini. Jadi, buat kaum Hawa, cuba ubah sikap buruk itu agar mudah untuk lelaki mendekati anda.

TERLALU MENGEJAR CITA-CITA:-

Seseorang wanita yang berjaya atau kuat semangat biasanya inginkan kebebasan dan bercita-cita tinggi. Biasanya juga lelaki takut untuk mengenali golongan sebegini.

Seperti yang diketahui dalam statistik pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009. Peratusan itu menjelaskan bahawa perempuan lebih minat untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti berbanding lelaki.

Lalu timbul isu perempuan akan membuat keputusan `berat sebelah' bagi memilih calon terbaik untuk dijadikan suami atau kekasih terutama yang berpangkat besar dan bergaji tinggi. Lelaki yang berpangkat rendah, kerja kampung atau tidak `berduit' susah untuk mereka pandang. Namun adakah anggapan ini benar? Atau ada sebab lain seperti lelaki golongan pemalas untuk menyara kehidupan yang lebih baik?

Menurut Profesor Madya Dr Azahari Ismail dari Universiti Putra Malaysia (UPM), kejayaan seseorang itu bergantung kepada pendidikan. Jadi kalau bakal bapa ini tiada pendidikan bermakna institusi keluarga akan hancur. Jadi nak salahkan siapa?

"Ini akan menyumbang kepada masalah lain seperti fenomena `bapa kelam' iaitu bapa yang tidak berperanan. Sudahlah isteri pandai daripada dia, nak cakap banyak tak boleh dan dalam sesetengah kes, gaji isteri lebih banyak. Bapa ini pula tak ada kuasa dan tak berperanan," katanya.

Tambahnya lagi, ini bukan perdebatan dalam usaha untuk membangunkan golongan wanita tapi apa yang penting usaha untuk memastikan pelajar lelaki tidak terus terpinggir dan memberikan implikasi negatif kepada negara.

Pun begitu, ini turut menyebabkan wanita merasakan untuk tidak kisah hidup tanpa lelaki kerana berasakan boleh berdiri di atas kejayaan sendiri. Masa mereka juga lebih banyak dihabiskan terhadap perniagaan dan urusan pekerjaan.

TAK PANDAI BERDIKARI:-

Apa yang ingin dilakukan semuanya bergantung kepada lelaki. Nak pergi sana atau ke sini pun perlu dihantar.

Perempuan perlu tahu bahawa lelaki tidak suka atau lebih tepat benci wanita yang bersikap begini. Pada mereka, wanita sebegini merimaskan dan langsung tidak mempunyai pegangan sendiri, hanya mengharapkan bantuan orang sekeliling.

Mekanik profesional, Mohd Razlan Salleh, 26, mengatakan perempuan yang mempunyai sikap ini bukanlah tidak baik tetapi mereka terlalu mengharapkan lelaki semata-mata tanpa ada sikap untuk berbuat sesuatu menggunakan keringat sendiri.

"Bekas teman wanita saya juga ada sikap tidak pandai berdikari. Adakalanya membuatkan diri rasa `dipergunakan' untuk kepentingan dirinya saja sedangkan dia boleh buat sendiri.

"Ketika itu hubungan kami sudah masuk enam bulan. Pada mulanya saya tidak kisah jika dia meminta bantuan untuk menghantarnya ke mana-mana atau perkara lain. Malah segala keputusan dia memerlukan sokongan saya. Contohnya, untuk menukar tempat kerja, seboleh-bolehnya dia meminta saya untuk mencari kerja untuknya.

"Itu belum masuk lagi perkara remeh lain seperti menemani ke pusat beli-belah, hantar ke tempat kerja atau hal lain. Ada ketikanya buat saya rasa bosan.

"Disebabkan itu, saya buat keputusan untuk memutuskan hubungan dan meminta dia untuk belajar berdikari sendiri tanpa bantuan kekasih, keluarga atau orang lain. Jika ada jodoh baru saya akan kembali kepadanya," katanya.

KURANG MESRA:-

Wanita yang kurang mesra turut dibenci lelaki. Personaliti mereka juga berbeza sama ada di dalam mahupun di luar rumah. Apabila diajak melepak bersama kawan lelaki, mereka `terlalu' menjaga tingkah laku sedangkan teman itu hanya bertanyakan maklumat diri seperti nama, umur dan asal dari mana. Itu saja dan tidak langsung berniat jahat.

Mereka juga tidak boleh bekerjasama dengan lelaki. Pasti ada yang tidak kena. Tetapi lain pula ceritanya apabila berdua dengan teman lelaki, gurau senda dan ketawanya boleh dengar dari jarak jauh.

Peniaga pasar malam, Faiz Zakir, 20, memberi pendapat bahawa perempuan yang kurang mesra adalah seorang yang tidak ceria dan lebih suka menyendiri berbanding bersama rakan lain.

"Saya tidak ada masalah jika bergandingan dengan wanita sebegini, tapi perlu tahu cara yang betul untuk `menjinakkan' mereka agar lebih mesra dengan orang sekeliling.

"Sebagai contoh, membuat jenaka di hadapan mereka lalu membuatkan dirinya rasa dihargai. Selain merasakan kehadiran anda dalam hidupnya," katanya yang bekerja sebagai penjual sate.

24 JAM SOAL KAHWIN :-

Ini satu lagi hal yang buat lelaki `pening' kepala. Perempuan lebih banyak berbicara berkaitan soal perkahwinan terutama apabila melihat teman rapat mendirikan masjid, malah ada yang sudah ada anak. Ini akan buat lelaki rasa lebih tertekan apabila ditanya soalan yang sama.

Mereka sentiasa memikirkan hal rumah tangga yang kadangkala memeningkan lelaki. Cepat emosi apabila membincangkan isu perkahwinan. Wanita juga mempunyai permintaan yang sangat tinggi, sukakan barangan mewah, bunga dan berlian tanpa kawalan. Jangan kata orang lain, penulis pun sama!

Kesimpulannya, tidak semua lelaki mampu memenuhi permintaan wanita sebegini yang hanya fikirkan berkaitan pakaian, beg tangan dan segala macam barangan mewah.

Oleh Nurul Halifah Hamiruddin
~ HM