Mulut Berbau Dosa Berpunca Dari Hati Yang Kotor | Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. (Surah al-Mutaffifin:14)
Ayat ini menjelaskan tentang orang-orang yang melakukan dosa dan sukar untuk menerima ayat-ayat Allah.
Mulut yang berbau dosa ini sering mendatangkan masalah terhadap hubungan di antara sesama manusia.
Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Pepatah ini sering kita sebut-sebutkan dalam hal berkaitan dengan kesalah mulut.
Persoalannya ialah kenapa mulut ini boleh berbau dosa? Apakah sukar untuk mulut ini dijaga dengan baik demi menjaga kemaslahatan dan kebaikan sejagat.
Apabila mulut sudah berbicara perkara-perkara dosa, maka banyak perkara negatif akan muncul seperti dendam, permusuhan, pertelingkahan dan sebagainya.
Kadang-kadang kita pelik, bagaimana mulut yang sentiasa membaca al-fatihah ketika solat, tetapi pada masa yang sama bekata-kata buruk di luar solat.
Andai dosa itu boleh berbau, sudah tentu mulut orang yang suka berkata-kata buruk akan berbau busuk mulutnya.
Jika demikian, sudah tentu orang yang suka bekata-kata buruk itu akan memilih untuk berdiam diri.
Sedangkan berdiam diri itu adalah perbuatan yang lebih baik dari berkata-kata yang keji dan dusta.
Kita sering mendengar wujudnya segelintir pekerja yang gemar mencetuskan propaganda dan krontoversi.
Dan apakah yang mneyebabkan mereka ini suka membiarkan mulut mereka berbau dosa? Sedangkan bahayanya mulut itu mampu membuatkan yang baik menjadi buruk.
Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)”.
Apabila Hati Mula Kotor
Apabila mulut mula berbau dosa, dan ia sudah pasti bermula dari hati yang kotor. Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang kotor?
Hati yang kotor ialah hati yang terdedah kepada dosa dan maksiat. Ibarat makanan yang tidak dipelihara atau dijaga dengan baik, sudah tentu makanan tersebut akan menjadi basi dan tidak elok.
Begitu jugalah hati. Jika ia tidak dipelihara dengan baik, maka banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.
Apakah hal sebegini yang kita mahukan sebagai umat Islam? Tidak pernahkah kita memikirkan perasaan baginda Muhammad s.a.w.
Sudah pasti baginda akan sedih jika terdapat umatnya yang mulutnya sentiasa berbau dosa.
Hati yang kotor berpunca apabila hati tersebut tidak disirami dengan ayat-ayat Allah. Apakah ayat-ayat Allah yang perlu disirami?
Itulah dia ayat-ayat al-quran. Ayat-ayat inilah yang boleh membuatkan hati kita menjadi lembut dan taat kepada perintah Allah s.w.t.
Bersihkan Hati Dengan Ayat-Ayat Al-Quran
Kita digalakkan untuk memabca al-quran dalam seharian hidup kita bagi tujuan untuk melembutkan hati yang keras, membersihkan hati yang kotor.
Bukankah diturunkan ayat al-quran itu untuk sekalian manusia? Apakah kita ingin memilih untuk menolak al-quran sedangkan hakikatnya ia adalah kalam Allah s.w.t?
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:41)
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik. (Surah al-Baqarah:99)
Maka jelas dari ayat ini bahawa al-quran itu diturunkan untuk memebri keterangan kepada manusia dan sesiapa yang mengingkarinya maka dia adalah orang yang fasik.
Jadi bersihkanlah hati kita dengan ayat-ayat al-quran agar hati kita tidak menjadi punca kepada mulut kita menjadi busuk dek dosa.
Pagar Hati Dengan Mengingati Allah
Kadang-kadang punca hati menajdi kotor kerana ia terdedah dengan hasutan syaitan. Syaitan tidak pernah putus asa dalam memporak-perandakan umat Islam.
Mereka suka untuk meneysatkan umat Nabi Muhammad agar mereka mendapat teman di neraka kelak.
Apakah kita ingin bersama-sama syaitan di neraka atau bersama para nabi dan orang-orang soleh di syurga? Pilihan di tangan kita. Untuk memagarkan hati kita dari gangguan syaitan ini ialah dengan memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t
Hati cepat kotor apabila kita melakukan dosa. Maka pagarkanlah ia dnegan segera mengingati Allah s.w.t. Takutlah pada balasan dan azab Allah s.w.t. Apakah azab Allah itu? Kita boleh lihat banyak azab yang disebutkan di dalam al-quran.
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Surah al-Baqarah:48)
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara). (Surah al-Baqarah:123)
Jelas bahawa manusia yang melakukan dosa pasti akan mendapat azab yang sangat keras dari Allah s.w.t. Apakah peringatan lagi yang kita inginkan dan kita tunggukan?
Maka peliharalah hati dan mulut kita dari melakukan sebarang dosa-dosa kerana jelas setiap perbuatan itu pasti akan dihisab.
Jangan kita biarkan mulut kita berbau dosa dengan berkata-kata buruk, memfitnah, mengaibkan sesama manusia, berdusta dan sebagainya.
Bersihkanlah hati dari kekotoran dosa dengan sentiasa mengingati Allah agar hati itu tidak menjadi punca kepada berbaunya dosa pada mulut kita.
Pengajaran yang boleh diambil:
Janganlah kita biarkan mulut kita berbau dosa kerana ia sudah pasti akan mendatangkan perkara negatif pada diri kita sendiri.
Mulut yang tidak dijaga dengan baik boleh menjadi punca timbulnya api permusuhan.
Bersihkanlah hati dengan sentiasa membaca ayat-ayat Allah iaitu al-quran.
Pagarkanlah hati kita dari gangguan syaitan dengan memperbanyakkan mengingati Allah dan mohonlah perlindungan dariNya.
Mulut yang berbau dosa di dunia pasti akan mendapat azab dan balasan di akhirat kelak.
“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”
Wallahualam