Jenis-Jenis Penyakit Rabun Mata


Jenis-Jenis Penyakit Rabun Mata | Masalah penglihatan mata boleh dikesan seawal empat tahun. Biar apa pun masalah penglihatan, ia boleh dibetulkan dengan menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

Antara penyebab berlakunya rabun adalah disebabkan faktor keturunan. Seorang anak yang ibu bapanya mengalami masalah rabun mempunyai kebarangkalian 40 peratus menghidap masalah sama. Terjadinya rabun jauh akibat bebola mata seseorang itu lebih besar dan panjang berbanding mereka yang tidak rabun.

Apakah maksud rabun mata?

Cahaya melalui kornea (bahagian lutsinar di mata) dan kanta sebelum jatuh ke atas retina lapisan yang melitupi bahagian belakang mata dan mengandungi urat saraf. Mata perlu membiaskan cahaya supaya imej yang jelas dapat difokuskan ke atas retina. Rabun mata bermaksud mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan baik dan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur.

Antara jenis rabun mata

Rabun Jauh

Ini adalah rabun mata yang paling lazim di kalangan kanak-kanak dan remaja serta boleh disebabkan oleh keturunan. Kanak-kanak yang rabun jauh memiliki bentuk kornea yang terlalu melengkung atau bola mata yang terlalu panjang. Ini akan menyebabkan cahaya difokuskan ke bahagian hadapan retina dan bukannya ke atas retina seperti yang sepatutnya.

Rabun jauh biasanya dapat dikesan ketika kanak-kanak memulakan alam persekolahan, seawall usia 6 tahun. Pada umur remaja (ketika tubuh badan membesar dengan cepat), rabun jauh mungkin akan menjadi lebih serius. Walau bagaimanapun, kadar kerabunan ini akan menjadi lebih stabil pada umur 20-40 tahun.

Rabun Dekat

Ini terjadi apabila bentuk kornea kurang melengkung atau bola mata terlalu pendek dan menyebabkan cahaya bertumpu ke bahagian belakang retina. Bayi dan kanak-kanak kecil lebih cenderung untuk rabun dekat. Keadaan ini akan menjadi lebih baik apabila mata semakin membesar dan menjadi lebih panjang.

Rabun Silau (astigmatism)

Ini terjadi apabila bentuk kornea tidak sekata dan membiaskan cahaya ke arah yang berlainan. Ia boleh wujud bersama jenis rabun mata yang lain.


*Sumber :
-Harian Metro Online