Paru-paru Ifa Raziah Jangkiti Kuman

Paru-paru Ifa Raziah Jangkiti Kuman | Akibat batuk berterusan hampir sebulan, penyanyi Ifa Raziah disahkan mengalami jangkitan paru-parunya atau pneumonia sehingga terpaksa di tahan di Pusat Perubatan Colombia, Setapak, dekat sini. 

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, berkata, dia ditahan di pusat perubatan berkenaan sejak petang Sabtu lalu bagi mendapatkan pemantauan daripada pihak doktor setiap masa. 

"Saya sudah hampir sebulan batuk tidak henti-henti dan lima kali ke klinik untuk mendapatkan rawatan, namun sehingga sekarang tidak baik. 

"Semasa membuat rawatan, doktor memberitahu bahawa paru-paru saya mengembang kerana dijangkiti kuman dan perlu mendapatkan rawatan secukupnya," ujarnya kepada mStar Online. 

Dalam pada itu, Ifa berkata, hal tersebut juga telah menjejaskan sesi latihannya untuk persiapan ke program akhir Gegar Vaganza yang akan berlangsung pada 4 Januari depan. 

Dia juga tidak dapat memastikan sama ada mampu pulih sepenuhnya untuk terlibat pada pertandingan akhir tersebut. 

"Dalam keadaan saya sekarang ini memang tidak boleh menyanyi langsung dan menjejaskan persiapan saya untuk beraksi di pentas final Gegar Vaganza. 

"Sekarang pun saya tidak pasti sama ada boleh teruskan perjuangan di pentas akhir atau tidak dan perkara ini saya sudah maklumkan pada pihak Astro," katanya.